Wednesday, February 6, 2013

Lombong - [Full]

Ini adalah cubaan gua untuk menulis cerita yang serius. Gua rasa memang gua tak boleh pegi la....Hahaha... Gua rasakan imiganisi dan research yang hebat amat la perlu dalam menulis cerita-cerita sebegini. Jadi salut gua pada penulis-penulis di luar sana..






Lombong

1



Petang itu cuaca agak redup. Dengan kehadiran angin bertiup sepoi-sepoi bahasa agak mententeramkan jiwa aku yang tengah kacau.

Dan berserabut

Di tepi lombong ini, di bawah rendang pohon yang aku pun tak tahu apa jenisnya aku duduk di situ. Santai. Kononnya cuba untuk melarikan diri dari permasalahan dunia yang huru hara. Permasalahan ini macam bayang-bayang. Sentiasa mengekori bila ada cahaya. Jadi aku perlukan tempat yang redup dan tenang supaya bayang-bayang permasalahan aku tak dapat muncul.

Jadilah, walaupun sekejap.

Sedang aku leka termenung memerhatikan riak-riak air yang ditiup angin di lombong tinggal ini, terdengar ada satu suara yang lembut menegur aku dari belakang.

"Memancing ke bang?" Aku tak pasti soalan tersebut sekadar mahu berbudi bahasa atau sang empunya diri itu memang rabun sebab memang tak ada joran, jala, bubu, pukat tunda mahupun peralatan memancing yang berada di sekitar aku.

Tapi yang pasti suara itu datangnya dari seorang awek.


2

Lantas aku menoleh untuk melihat siapakah empunya diri.
  
'Mak aih....' mana datang pulak awek cun ala-ala pan-asian petang-petang main dekat area lombong tinggal ni.

"Err...takdelah saja duduk-duduk." jawab aku spontan. Mata aku lantas men'scanning' awek tersebut lalu menghantar data-data ke otak untuk menganalisa siapakah awek ini, kat mana aku pernah jumpa, sedara aku ke dan apa yang dia buat kat sini?? Ternyata takde jawapan dari hasil analisa itu.

"Ye ke?" awek tersebut senyum dan ketawa kecil. "Boleh saya duduk sebelah awak?" tanya awek tu lagi. Aku hanya mengangguk sambil mata aku melilau kiri dan kanan sambil dalam hati berkata 'ada orang nak prank aku ke hapa ni?'

Tanpa aku kata yes or no, awek tersebut terus duduk bersila disebelah aku. Wanginya. Risau pulak aku kot kena tangkap khalwat. Tapi kerisauan aku sedikit terhakis kerana tak berapa jauh dari tempat aku melepak tu ada dua orang sedang memancing.

 “Saya Saffiyah…” ujarnya sambil senyum memperlihatkan giginya yang putih tersusun rapi. Sumpah aku tak terpikir nak tanya nama dia, tapi kira ok gak la. Hehehe.

“Err…saya Zafir” balas aku. Aku balas senyuman Saffiyah. Tapi gigi aku kuning sikit la aku tengok pagi tadi kat cermin.

“Selalu lepak sini?” tanya Saffiyah. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup turut membelai rambut panjang awek yang bernama Saffiyah tu.

“Tak jugak. Kalau saya tension, boring…saya datanglah lepak sini.” Balas aku.

 Suasana hening seketika. Bagaikan ada malaikat lalu kata orang. Kedengaran hanya bunyi desiran angin yang melolosi rimbunan daun tempat kami melepak.

"Zafir, awak tau tak? Dulu saya pernah jumpa naga dalam lombong ni. Mesti awak tak percaya kan?" Spontan aku menoleh ke arah Saffiyah. Cuba untuk memastikan yang awek ini seorang awek yang waras. Saffiyah menoleh ke arah aku.

Dia senyum.

Peluh jantan mula terbit di dahi aku.

3

“Merepeklah awak ni. Mana ada naga…” Aku menidakkan minah sorang ni.



“Rilekslah…awak ingat saya ni terlepas dari wad mental ke?” Saffiyah senyum lagi. Aku geleng kepala sambil buat-buat sengih.



“Saya main-main je. Maksud saya, lombong ni nampak tenang. Tapi di dalam dan di dasarnya apa yang ada pun kita tak tau. Entah-entah ada naga? Siapa tau?” sambung Saffiyah lagi. 

Aku cuma mengangguk. Benar juga kata minah ni. Siapa tau dalam lombong ni ada naga? Ada Loch Ness? Ada ikan Toman sebesar bot laju? Siapa tau?

“Awak pun macam lombong ni. Saya tau. Tengok raut wajah awak pun saya tau. Tenang…tapi dalam hati tu ada naga. Tunggu masa nak keluar bila dikejutkan.” Saffiyah menambah lagi dan aku jadi makin pening dengan minah ni.

Tapi, lagi sekali aku membenarkan kata-kata minah sorang ni. Dalam hati dan diri manusia ni takde siapa yang tahu. Entah-entah ada naga? Ada taman? Ada api dendam yang membara? Ada salju yang menyejukkan? Siapa yang tahu? Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang ada dalam hati manusia ni.  

Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.

“Awak ni ada belajar tilik nasib ke?” tanya aku dengan niat menyindir.

“Hahaha…awak ni kelakar jugak ye.” Entah bila masa aku buat lawak? Tapi kira orait la jugak. Minah ni gelak, nampak comel. Ada lesung pipit kiri kanan pulak tu. Sewitt.

Suasana menjadi hening lagi sekali.


“Saya tak pernah nampak awak kat area ni. Awak baru pindah ke?” tanya aku.

4

Sungguh, memang aku tak pernah nampak minah ni. Kalau dia ni dah wujud lama kat kawasan Padang Bukit tempat aku duduk selama 20 tahun ni, mesti dia ni dah jadi top ten awek pilihan kat sini dan dah masuk list dalam senarai Antara Gadis Azmi a.k.a Mie Romeo.


“Actually, saya baru je pindah ke sini dari K.L. Sini kampung ayah saya. Sebelum ni family saya memang jarang balik ke sini. Parents saya sibuk sangat. Kalau balik pun sekejap-sekejap. Ni parents saya dah pencen awal sukarela. Jadi diaorang ambil keputusan pindah sini” Ujar Saffiyah. Baju kemeja kotak-kotak bertemakan warna hijau dikenakan dengan seluar jeans menambahkan lagi kesewittan (bahasa apa ni?) Saffiyah.
 
5
 
“Kali ni, apa yang membuatkan awak datang ke sini? Frust? Tension?” Saffiyah menoleh ke arah aku. Senyum (lagi...)

Memang aku tak nafikan, kepala aku agak berserabut dan berat dengan pelbagai masalah ketika ini. Tapi selalunya aku lebih suka memendamkan saja. Tidak mahu berkongsi. Tidak mahu bercerita dengan orang lain. Kawan itu ada, cuma tiada yang rapat. Jadi, aku lebih suka duduk di sini, di tepi lombong ini. Berfikir sambil merenung takungan air lombong yang tenang ini, merenung ke langit yang biru dan melihat  apa saja yang ada disekeliling lombong ini. Aman. Aku rasa aman sekali.

Aku menoleh ke arah Saffiyah dan menghadiahkan dia satu senyuman kelat, “Hehe..nak frust apanya? Biasalah…kita manusia ni macam-macam masalah. Saya datang sini nak tenangkan fikiran je. Sini tenang sikit. Awak? Buat apa pulak kat sini?”

“Sama jugak macam awak. Mencari tempat yang tenang untuk bertenang.”

“Awak ada masalah sekarang?” tanya aku. Kelihatan seekor ikan jenis talapia menari-nari di permukaan air.

“Sama macam awak katakan tadi. Semua manusia ada macam-macam masalah. Saya cuba mencari jawapannya disini. Itupun kalau ada.” Jawab Saffiyah.

“Macam mana bunyinya masalah awak tu? Boleh awak cerita sikit?”

“Entahlah. Mungkin mainan emosi saya juga. Saya selalu rasa kecewa bila benda yang saya nak, tak dapat. Baru-baru ni saya dapat berita yang saya tak diterima belajar di universiti yang saya pohon di US. Hmm…saya frust sangat. Papa dan mama pujuk saya study di Malaysia saja. Tak nak saya. Hanna, Dolly, Farah semua dapat ke sana.” Saffiyah mencebik. Terpancar raut kecewa yang amat sangat dari wajahnya. Hilang senyum manis.

Aku senyum saja sambil mengutip batu-batu kecil. “Sama saja kan? US ke, Malaysia ke. Janji kita dapat belajar.”

“Sama je ayat awak dengan ayat mama saya. Huh…”

“Awak patut bersyukur. Sekurang-kurangnya awak masih mampu nak sambung belajar.” Aku melontarkan sebiji batu kecil yang aku kutip tadi. “Kalau awak jadi saya, mesti awak tak rasa apa yang awak rasa sekarang.” Aku menyambung lagi.

“Kenapa? Apa kena mengena dengan awak?” Tanya Saffiyah.

“Macam nilah cik Saffiyah. Mungkin cerita saya ni agak cliché, tapi inilah realitinya. Saya memang teringin nak sambung belajar, tapi peluang itu takde. Keluarga saya susah. Peluang itu seolah-olah tertutup buat saya. Saya kena kerja nak sara keluarga saya. Tapi saya tak mahu berhenti mengharap, sebab saya yakin masih ada jalan lain lagi.”




“Macam drama Melayu…” Kuntum senyum kembali ke wajah Saffiyah. Tapi masih tawar.

“Hehe….kan saya dah cakap tadi. Tapi kan, kita bila berdepan dengan masalah, patutnya kita tengok orang yang dibawah kita. Maksud saya, kita patut menilai diri dengan orang yang nasibnya lagi teruk. Kalau kita tengok nasib orang yang lebih baik dari kita, memang kita takkan rasa bersyukur dan berterima kasih. Mesti rasa tak puas hati. Mesti kita fikir kenapalah dia ni lebih daripada aku? Betul tak?” Aku lantas berdiri dan membuat satu lontaran batu kecil ke permukaan lombong.

“Betul, betul, betul. Macam pakar motivasi la awak ni.” Manis sudah kembali ke wajah Saffiyah semula bersama senyuman.

Aku membuat lontaran lagi. “Ni pun saya cedok ustaz saya kata. Ustaz saya kata lagi, dalam bab ibadah pulak, ia terbalik. Kita kena tengok orang yang lagi power daripada kita. Kan?”

“Yup. Memang betul. Akhirnya saya jumpa jawapannya di sini. Terima kasih.” Saffiyah turut berdiri di sebelah aku. Berpeluk tubuh.

“Sama-sama.” Jawab aku.

“Ok. Macam mana pulak masalah awak tu?”

“Ehm…entahlah. Saya serahkan pada takdir. Follow the flow..” aku tunduk. Memang aku buntu. Tapi aku tak mahu putus harap. Cuma kali ini aku memang tepu untuk berfikir.

“Mungkin saya boleh tolong awak. Nanti saya tanyakan pada papa saya. Dia ada banyak kawan yang mungkin boleh tolong awak dapatkan kerja, dan sambil tu awak boleh sambung belajar” ujar Saffiyah bersemangat sekali. Seakan ketua bahagian pemudi parti politik lagaknya.

“Kerja sambil belajar?”

“Yes. Tak mustahil bukan? Setiap masalah pasti ada penyelesaian.” Saffiyah menghadiahkan aku senyumannya yang manis sekali lagi.

Aku membalas senyuman Saffiyah. Memang benar, kalau kita berbincang dan bermesyuarat tentang satu permasalahan, pasti kita akan dapat jawapan dan penyelesaiannya. Dan kali ini terjadi pada aku dan Saffiyah.

Aku kembali duduk. Saffiya menuruti perlakuan aku. Dia duduk di sebelah kananku. Kami sama-sama merenung permukaan lombong yang menguning hasil biasan cahaya mentari yang semakin susut kuasa sinarnya.

Sedang aku menikmati pemandangan yang asyik itu aku terdengar sayup-sayup namaku dipanggil. Aku menoleh ke arah kiri di mana arah suara itu datang. Diselang-seli juga dengan nama Saffiyah. Mata aku masih tidak dapat menangkap kelibat manusia yang memanggil nama kami. Tapi suara itu makin lama makin mendekati.
 


Tiba-tiba, aku ternampak satu suluhan cahaya putih yang terang menerjah masuk tepat ke mata aku. Aku pejamkan mata sambil memalingkan kepala aku ke arah duduknya Saffiyah. Sakit dan pedih. Dengan perlahan-lahan aku membuka kelopak mataku sedikit. Masih sakit dan pedih. Dan dari celahan pandangan mata aku yang terbatas itu aku dapati Saffiyah sudah tiada di tempat duduknya.
 
Aku mencari kelibat Saffiyah disekeliling. Apabila ku menoleh saja ke arah kiri aku dapati Saffiyah sudah terbaring. Bagaimana dia boleh berubah tempat dengan sekelip mata? Aku tiada jawapannya. Suluhan cahaya putih masih galak menyerang mata aku menyebabkan kepala aku terasa berat. Sangat berat. Lantas aku hilang pertimbangan dan terbaring. Seluruh otot tubuh aku terasa bagai dikunci. Aku tidak mampu bergerak.

“Kita sudah jumpa mereka!” itulah ayat terakhir yang menerobos masuk ke telinga aku sebelum aku rasakan diriku melayang dan terawangan di udara. Selepas itu tiada apa yang dapat aku rasakan, melainkan kegelapan yang panjang.

Apabila aku membuka mata, berdiri di hadapan aku seorang lelaki berumur yang aku tidak kenali. Ditemani seorang wanita yang juga tidak aku kenali. Mereka menghadiahkan satu senyuman pada aku. Aku dapati aku terbaring di atas katil. Aku dihospital rupanya.

“Terima kasih nak…” ucap lelaki itu.

Aku memejamkan mata. Lantas,seperti tayangan wayang gambar lama, bayangan seorang gadis yang berdiri di tepi lombong muncul di hadapan mata aku. Lalu gadis itu terjun ke dalam lombong. Kedalaman lombong itu menenggelamkan gadis itu. Terkapai-kapai tangan gadis itu. Lemas!

Tak semena-mena entah dari mana muncul pula kelibat seorang lelaki dan terjun menyelamatkannya. Wajahnya tidak jelas. Tapi aku memang kenal lelaki itu. Lelaki itu cuba menarik baju gadis itu, tapi agak sukar. Lelaki itu juga kelihatan seperti kelemasan. Setelah beberapa kali, lelaki itu berjaya juga memegang baju gadis itu dan menariknya ke tepi tebing lombong. Kedua-duanya kehabisan tenaga. Kedua-duanya kehabisan udara. Lalu terbaring kaku. Dari bayangan itu aku dapati gadis itu ialah Saffiyah. Dan...lelaki itu adalah diri aku sendiri.

Aku membuka mata. “Saffiyah macam mana?” aku bertanya.

Lelaki itu menoleh ke arah wanita itu seperti kehairanan. “Saffiyah selamat. Dia o.k. Pakcik ucapkan terima kasih pada anak. Tapi….macam mana anak tahu nama anak pakcik tu?”

Aku tersenyum. Macam mana aku tahu nama Saffiyah memang sukar untuk aku jelaskan pada lelaki dan wanita itu. Aku pejamkan mata.

Aku mahu berehat.

Selepas itu tiada apa yang dapat aku rasakan, melainkan kegelapan yang menenangkan.


-Tamat-




belasah saja!

No comments:

Post a Comment

Ada komen? Kalau ada mari tulis sini.

Related Posts with Thumbnails