Friday, August 3, 2012

Cerita Pasal Moreh


Dulu, masa gua kecik-kecik dulu...petang-petang bulan puasa macam ni sambil menunggu time nak berbuka, selain daripada menonton drama Arab cerita pasal Firaun dan menenung jag air berisi air sirap selasih atas meja, gua suka belek-belek majalah kartun. Yang top time tu dah tentunyalah Gila-Gila. Bulan Ramadhan ni, afdolnya baca Quran, yang gua pulak pegi baca kartun. Hmmm...adik-adik jangan ikut stail abang tau.

Okle...gua sebenarnya nak cerita, ada satu cerita kartun yang kelakar gua rasa, pasal bulan puasa dalam majalah tu yang gua ingat sampai sekarang, walaupun dah tak berapa nak ingat (camne tu?). Kartun ni karya Allahyarham Rejabhad. Gua rasa macam nak share la kan. Ok, gua try ceritakan yang mana gua ingat la ye ikut stail gua. Nama-nama watak dia gua tak ingat, jadi gua hentam je dan jalan cerita dia lebih kurang begini. Ehemm hemm...

Pada zaman dahulu, yang tak berapa nak dahulu sangat, kira-kira dalam circa tahun 50-60-an la kira lebih kurang, tinggal le seorang ibu dengan anak lelaki dia yang umurnya dalam 7-8 tahun kot dalam sebuah desa yang permai dan damai. Si ibu ni nama dalam kad pengenalan dia, gua kurang periksa la pulak, tapi kita ikut ajelah nama standard drama swasta kat t.v tu, jadinya orang kampung dok panggil si ibu ni Cik Lijah. Si anak pulak namanya Abu sebab gua rasa nama Abu sedap sikit dan senang sikit gua nak taip. Bapak si Abu ni gua tak tau la pulak ceritanya dan gua saspek Cik Lijah ni janda meletup kat kampung tu.

Tiba bulan Ramadhan, seperti tahun-tahun sebelumnya, surau di kampung tempat mereka tinggal tu memang meriah pada malam harinya.Ye lah, selain penduduk kampung nak berjemaah solat terawih, lepas terawih ada pulak aktiviti yang agak mengancam iaitu Moreh. Kalau tak tau Moreh sila la tanya pada pakcik Bing ataupun Lebai Google. Sambung cerita...tidak ketinggalan jugak Cik Lijah dan si Abu ni. Mereka pun turut ke surau start dari awal puasa lagi.
Hari-hari mereka ke surau bersama, tibalah satu masa, dimana bendera merah telah diangkat dan Cik Lijah ni tak dapat le nak ke surau. Tapi si Abu ni nak pergi jugak. Semangat. Nak tak nak, Cik Lijah pun benarkan la si Abu ni pergi. Abu ni sebenarnya lebih pada nak balun Moreh tu je. Biasale..bebudak.

Balik je Abu pada malam pertama yang dia pergi surau sorang-sorang tu, Cik Lijah pun bertanya pasal menu Moreh malam tu. 

"Malam ni hang makan apa moreh...?"
"Malam ni makan kuih cucuq badak mak...moreh Haji Mael..sedap..." jawab Abu.

Cik Lijah menelan air liur. Ni tak boleh jadi fikir Cik Lijah sambil mengepal-ngepal penumbuk.

"Abu...hang bawak balik la sikit kat mak ni Abu oii..." ujar Cik Lijah.
"Macam mana nak bawak balik mak? Malu la nanti kalau orang nampak." Abu meminta pendapat yang bernas dari ibunya.

"Macam ni, masa oghang dok kalut tengah makan tu...hang bohh la sikit dalam songkok hang tu. Senang kan?"
"Mak memang bijak. Tip top." Abu memujinya maknya sambil mengangkat tangan menggayakan isyarat kacang Cap Tangan.

Malam kedua. Abu pulang dari surau.
"Moreh apa malam ni Abu...?" tanya Cik Lijah pada anaknya.
"Malam ni moreh kuih bom mak...Moreh Mak Cik Zainab."
"Tu dia....tu dia...." ujar Cik Lijah excited.

Malam ketiga. Kuih ketayap. Moreh Seman Tukang Kebun.
"Ninnn diaaa....maiii....." ujar Cik Lijah.

Malam keempat. Cucuq kodoq. Moreh Tok Siak, Haji Yakub. 4 ketui Abu balun masuk songkok.
"Baguih..baguih..." puji Cik Lijah. Abu kembang dan bangga dapat berbakti pada ibunya.

Malam kelima. Moreh Ustaz Kamal.
"Astaghfirullahalaziiimmmm....apa jadi kat hang ni....??" geleng kepala Cik Lijah.

Kesian Abu yang lurus bendul tu.
Malam kelima tu moreh kat surau makan bubur cha-cha.


belasah saja!

Wednesday, November 23, 2011

Kisah di Klinik Doktor Sa'edon dan Rakan


Masuk hari ni, dah genap masuk 2 bulan 5 hari Klinik Doktor Sa'edon dan Rakan beroperasi 24 jam. Sebelum ini, waktu operasi adalah waktu standard. 8 pagi sampai 11 malam sahaja. Tapi oleh kerana permintaan ramai daripada pesakit-pesakit, Dr. Sa'edon serta rakan kongsi beliau iaitu Dr. Ahmed Alban mengambil keputusan memanjangkan waktu operasi klinik mereka.

Lagipun di daerah kawasan kliniknya, takde lagi klinik yang berani dan into bukak stail 7-Eleven ni. Bolehlah dia berbakti lebih sikit kepada masyarakat. Terasalah juga yang dia ada sumbangan pada komuniti setempat. Bak kata pepatah urban, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali, buatlah banyak kali.

Hari ni giliran Dr. Sa'edon pulak bertugas di waktu malam. Dr. Sa'edon mengerling jam di dinding sambil menguap. 1.59 pagi. 

"Huaaaaaaaaahhh...." agak kuat jugak sound efek yang keluar, walaupun jenuh jugak dikontrol dan diejas. Bukan apa, tak molek pulak kalau didengar oleh pembantu klinik beliau iaitu Cik Lisa Jasmei dan Cik Liana Suriyani. Bak kata pepatah kempen politik, kepimpinan melalaui tauladan.

Selepas pukul 11 malam tadi, ada dalam 5 orang pesakit. Selalunya lepas pukul 2 pagi, pesakit sudah mula berkurangan. Jadi dapatlah Dr Sa'edon melelapkan mata sekejap-sekejap. Kalau ada yang datang pun, selalunya kes-kes kecemasan dan kritikal ringan.

'Tok!Tok!' pintu sambungan bilik rawatan beliau dengan bilik tempat ubat diketuk oleh pembantu beliau, Lisa Jasmei.

'Krrriukkk..' pintu dibuka dan Lisa Jasmei masuk dengan membawa dokumen rekod pesakit.

"Ada patient doc." kata Lisa Jasmei pada Dr. Sa'edon yang tengah menggenyeh mata.

"Hmmm...ok panggil dia masuk." Dr Sa'edon memberi arahan pada Lisa Jasmei sambil melihat rekod pesakit yang nampak gayanya pesakit baru yang tak pernah datang ke kliniknya sebelum ini.

"Siti Nurhalijah!" panggil Liana Suriyani dari pintu bilik rawatan klinik. Seorang wanita berbaju kurung berwarna putih berbunga merah bingkas bangun dari kerusi menunggu.

Bau harum mengiring wanita bernama Siti Nurhalijah itu. Harum dan wangi. Lisa Jasmei terasa seperti beliau sedang lalu dikawasan tempat jual minyak wangi di shopping complex. Hmm....

"Ya cik, sakit apa?" tanya Doktor Sa'edon.

"Entahlah doktor, saya rasa macam sejuk-sejuk badan, pening pusing-pusing kepala saya ni doktor.." kata wanita tersebut.

"Muka awak nampak pucat. Macam kurang darah. Mari saya periksa tekanan darah awak." Doktor Sa'edon memandang kepada Lisa Jasmei seakan memberi isyarat untuk memasang alat untuk mengukur tekanan darah pada lengan pesakit tersebut. 

Liana Suriyani yang duduk di muka pintu antara bilik rawatan dan bilik pendaftaran klinik mengangguk-angguk seolah bersetuju dengan kata Doktor Sa'edon yang mengatakan muka wanita itu pucat. Nampak macam berpengalaman si Liana Suriyani ni, padahal baru saja 3 minggu berkerja di klinik ini.

Setelah selesai alat dipasang pada lengan wanita tersebut, Doktor Sa'edon mula memicit pam alat tersebut. Doktor Sa'edon memegang pergelangan tangan dibahagian nadi pesakit tersebut untuk mengambil bacaan.

Doktor Sae'don menggosok-gosok bahagian nadi pesakit tersebut. Kelihatan seperti tercari-cari sesuatu. Doktor Sa'edon menggeleng-geleng kepala dan nampak sedikit resah.

"Kenapa doktor?" tanya wanita tersebut.

"Err..takde apa-apa, sila pusing kebelakang saya nak check." Doktor Sa'edon mengarahkan wanita tersebut berpusing sambil beliau mengenakan stethoskop ke telinga. Doktor Sa'edon meletakkan alat tersebut ke belakang dada wanita tersebut.

Tak semena-mena Doktor Sa'edon tersandar ke belakang. Seolah cuba menjauhkan diri dari wanita tersebut.
"Kenapa doktor? Tak dapat detect nadi saya sama bunyi degup jantung saya ke?" tanya wanita tersebut sambil berpaling ke arah doktor.

Doktor Sa'edon pucat. Lagi pucat setelah wanita tersebut mengakhiri soalan dengan senyuman dan hilai tawa yang seram.

Liana Suriyani sudah tidak boleh berdiri. Lisa Jasmei pula tegak berdiri tak berkata apa-apa. Kebarangkalian terkincit dalam seluar itu ada.

Bau wangi tadi menjadi semakin kuat diiringi dengan hilaian tawa wanita tersebut yang hilang keluar seperti angin lalu dari Klinik Doktor Sa'edon dan Rakan.

Besoknya Klinik Doktor Sa'edon dan Rakan tutup seminggu dan selepas itu tidak lagi beroperasi 24 jam.



belasah saja!

Tuesday, May 24, 2011

Part 'La La La La'

Gua pelik jugak lagu-lagu melayu ni. Lagu lirik pasal frust menonggeng putus cinta. Lirik memang maut jiwang karatz tak ingat. Kalau kena time tu tengah putus cinta memang rabak mata menangis bila dengar lagu ni. Leleh!

Tapi ada pulak part dalam lagu tu dia boleh nyanyi "La la la la la la laaaa....la la la la la la la laaaa...". Ni lagu sedih ke apa ni?

belasah saja!

Friday, August 20, 2010

Puase Dulu-dulu - 4

Teringat dulu, bila dah dekat nak raya, suasana jadi lagi happening. Makin dekat nak raya, radio makin kerap main lagu raya. Dulu susah kemain nak dengar lagu raya. Sekarang, dengar kat U-Tiub hari-hari pun boleh. Rancangan ucapan Selamat Hari Raya mesti ada punya kat radio sama t.v. Lagu-lagu dia memang bikin lagi semangat nak beraya sampai tak boleh lena tidor malam.

Lagu-lagunya macam lagu Dendang Perantau (P.Ramlee), lagu Mintak Mak Kuih Sepotong (Saloma), lagu Setahun Menghilang Sekarang Menjelang (Ahmad Jais), Musafir di Aidilfitri (S.Jibeng) (lagu ni gila gothic...best), Putra-putri Negara di Sempadan Sana (Sanisah Huri), lagu Tua & Muda Berpakaian Serba Baru (DJ Dave) dan banyak lagi la. Itu jam dia punya feel bila dengar lagu raya usah cakap la.

Bila dah dekat-dekat nak raya, mak-mak sibuk la buat kuih raya. Biskut dam, samperit, tumpi, kuih putu, dan segale saknike kuih rayalah. Buku resipi belajar kat kelas KEMAS sama yang salin dari t.v rancangan masak abis dibawak keluar.Itu jam dapur dah macam kilang kuih raya. Bau sedap jeee... Sekarang ni orang beli kuih tunjuk-tunjuk je. Senang.

Ini kuh otai...tau kuih apa ni?

Masuk malam 7 likur je, start pasang pelita panjut. Ini jam kalau pusing kampung terasa meriahnya. Bunyi dentum dentam usah kata la. Macam perang. Pelita panjut ni selalunya dulu orang d.i.y je. Dulu-dulu lagi dah indie. Sekarang je orang beli. Dulu pakai tin susu je. Sumbu pakai tali guni. Nak nampak kelas sikit buat pakai buluh. Tapi yang buluh ni tak boleh simpan sampai raya tahun depan macam yang pakai tin ni. Bahan bakar dia pakai minyak api. Mana la tau kot ada yang ingat pakai petrol pulak. Jangan buat pasal yop.

Malam 7 likur mesti ada ni...(gambar gua cilok sini)

Nak raya mesti kena ada baju raya, ye tak? Time ni memang lagi terasa tak sabar nak beraya dah. Pegi shopping kompleks lagu raya berkumandang, dengan orang ramai perghh....rasa dia dah lain macam. Baju sama seluar mesti pilih yang berkenan dan up to date. Kaler kena matching. Kasut pun sama. Itu jam pusing-pusing cari baju raya sampai melepek. Sebelum balik pau dulu bapak gua beli bunga api. Heh heh... Balik je rumah, terus try pakai sambil buat rehearsal depan cermin. Pakai komplit tu woo. Tiap-tiap malam..sampai la raya. Ha ha ha...

Dalam sehari dua hari sebelum raya, mesti balik kampung. Time kat kampung lagi la happening bila sepupu sepapat semua balik. Bila dah ramai-ramai memang best. Tidor pun bersepah. Depan t.v, ruang tamu. Semua bawak bekalan mercun sama bunga api sendiri. Malam je apa lagi. Pesta bunga api sama mercun.

Opah biasanya sibuk dengan dapur oven Butterfly nya buat kuih raya. Kuih favorit gua yang dia buat, kuih bakar. Yang mana dah siap dia akan simpan dan susun kuih-kuih tu dalam tin susu tepung Ducth Baby, Nespray... Sehari sebelum puasa, atuk gua pulak sibuk melemang dan merendang. Sekarang ni orang beli je lemang. Tapi kampung sebelah bapak gua tak buat lemang. Dia buat kelemai. Yang ni memang rare sikit. Susah nak jumpa. Belah Gopeng banyak jual. Gua ingat tahun ni gua nak tangkap barang sebatang dua.

Malam pengumuman raya tu, semua duduk berlonggok depan t.v. Bila konfirm kata esok raya, melompat sekor-sekor terus keluar main bunga api. Sebelum tidor sorang-sorang try baju raya dulu. Final rehearsal la kira. Esok nak raya dah. Kena bagi full komitmen.

Tu dulu la. Time tu opah ngan atuk gua ada lagi. Tapi, sejak atuk dan opah gua meninggal, kami tak beraya di kampung dah. Sepupu sepapat pun semua dah membesar dan memanjang. Semua beraya kat rumah family sendiri. Takde siapa yang balik ke kampung lagi. Rumah atuk dan opah gua tinggal kosong sepi macam tu je.

Takde lagi dah keseronokan bermain bunga api bersama sepupu sepapat, tidur berlambak, bau kuih bakar opah, suara atuk yang membebel marahkan Pak Su gua sebab tak jaga api lemang, pakcik-makcik gua yang bagi duit raya....takde dah keseronokan seperti itu. Yang ada keseronokan tengok anak-anak gua yang seronok beraya yang jadi pengganti keseronokan yang hilang itu. Yang ada dan tertinggal cuma memori keseronokan berhari raya je la masa kecik-kecik dulu dalam kepala otak gua ni. Satu hari nanti pusingan hidup seperti itu akan gua alami juga.

Al-Fatihah untuk mereka yang telah pergi.


**Mata gua dah rabak ni....


belasah saja!
Related Posts with Thumbnails