Friday, August 20, 2010

Puase Dulu-dulu - 4

Teringat dulu, bila dah dekat nak raya, suasana jadi lagi happening. Makin dekat nak raya, radio makin kerap main lagu raya. Dulu susah kemain nak dengar lagu raya. Sekarang, dengar kat U-Tiub hari-hari pun boleh. Rancangan ucapan Selamat Hari Raya mesti ada punya kat radio sama t.v. Lagu-lagu dia memang bikin lagi semangat nak beraya sampai tak boleh lena tidor malam.

Lagu-lagunya macam lagu Dendang Perantau (P.Ramlee), lagu Mintak Mak Kuih Sepotong (Saloma), lagu Setahun Menghilang Sekarang Menjelang (Ahmad Jais), Musafir di Aidilfitri (S.Jibeng) (lagu ni gila gothic...best), Putra-putri Negara di Sempadan Sana (Sanisah Huri), lagu Tua & Muda Berpakaian Serba Baru (DJ Dave) dan banyak lagi la. Itu jam dia punya feel bila dengar lagu raya usah cakap la.

Bila dah dekat-dekat nak raya, mak-mak sibuk la buat kuih raya. Biskut dam, samperit, tumpi, kuih putu, dan segale saknike kuih rayalah. Buku resipi belajar kat kelas KEMAS sama yang salin dari t.v rancangan masak abis dibawak keluar.Itu jam dapur dah macam kilang kuih raya. Bau sedap jeee... Sekarang ni orang beli kuih tunjuk-tunjuk je. Senang.

Ini kuh otai...tau kuih apa ni?

Masuk malam 7 likur je, start pasang pelita panjut. Ini jam kalau pusing kampung terasa meriahnya. Bunyi dentum dentam usah kata la. Macam perang. Pelita panjut ni selalunya dulu orang d.i.y je. Dulu-dulu lagi dah indie. Sekarang je orang beli. Dulu pakai tin susu je. Sumbu pakai tali guni. Nak nampak kelas sikit buat pakai buluh. Tapi yang buluh ni tak boleh simpan sampai raya tahun depan macam yang pakai tin ni. Bahan bakar dia pakai minyak api. Mana la tau kot ada yang ingat pakai petrol pulak. Jangan buat pasal yop.

Malam 7 likur mesti ada ni...(gambar gua cilok sini)

Nak raya mesti kena ada baju raya, ye tak? Time ni memang lagi terasa tak sabar nak beraya dah. Pegi shopping kompleks lagu raya berkumandang, dengan orang ramai perghh....rasa dia dah lain macam. Baju sama seluar mesti pilih yang berkenan dan up to date. Kaler kena matching. Kasut pun sama. Itu jam pusing-pusing cari baju raya sampai melepek. Sebelum balik pau dulu bapak gua beli bunga api. Heh heh... Balik je rumah, terus try pakai sambil buat rehearsal depan cermin. Pakai komplit tu woo. Tiap-tiap malam..sampai la raya. Ha ha ha...

Dalam sehari dua hari sebelum raya, mesti balik kampung. Time kat kampung lagi la happening bila sepupu sepapat semua balik. Bila dah ramai-ramai memang best. Tidor pun bersepah. Depan t.v, ruang tamu. Semua bawak bekalan mercun sama bunga api sendiri. Malam je apa lagi. Pesta bunga api sama mercun.

Opah biasanya sibuk dengan dapur oven Butterfly nya buat kuih raya. Kuih favorit gua yang dia buat, kuih bakar. Yang mana dah siap dia akan simpan dan susun kuih-kuih tu dalam tin susu tepung Ducth Baby, Nespray... Sehari sebelum puasa, atuk gua pulak sibuk melemang dan merendang. Sekarang ni orang beli je lemang. Tapi kampung sebelah bapak gua tak buat lemang. Dia buat kelemai. Yang ni memang rare sikit. Susah nak jumpa. Belah Gopeng banyak jual. Gua ingat tahun ni gua nak tangkap barang sebatang dua.

Malam pengumuman raya tu, semua duduk berlonggok depan t.v. Bila konfirm kata esok raya, melompat sekor-sekor terus keluar main bunga api. Sebelum tidor sorang-sorang try baju raya dulu. Final rehearsal la kira. Esok nak raya dah. Kena bagi full komitmen.

Tu dulu la. Time tu opah ngan atuk gua ada lagi. Tapi, sejak atuk dan opah gua meninggal, kami tak beraya di kampung dah. Sepupu sepapat pun semua dah membesar dan memanjang. Semua beraya kat rumah family sendiri. Takde siapa yang balik ke kampung lagi. Rumah atuk dan opah gua tinggal kosong sepi macam tu je.

Takde lagi dah keseronokan bermain bunga api bersama sepupu sepapat, tidur berlambak, bau kuih bakar opah, suara atuk yang membebel marahkan Pak Su gua sebab tak jaga api lemang, pakcik-makcik gua yang bagi duit raya....takde dah keseronokan seperti itu. Yang ada keseronokan tengok anak-anak gua yang seronok beraya yang jadi pengganti keseronokan yang hilang itu. Yang ada dan tertinggal cuma memori keseronokan berhari raya je la masa kecik-kecik dulu dalam kepala otak gua ni. Satu hari nanti pusingan hidup seperti itu akan gua alami juga.

Al-Fatihah untuk mereka yang telah pergi.


**Mata gua dah rabak ni....


belasah saja!

Wednesday, August 18, 2010

Puase Dulu-dulu - 3

Bila dah dekat waktu nak berbuka, time ni la paling best. Tengok atas meja dia punya hidangan memang gua rasa nak berbuka terus tak tunggu 'bang'. Tapi mengenangkan kesan dan akibatnya, jadi gua lupakan saja niat keji gua. Silap-silap gua boleh dihukum makan lepas semua orang dah setel berbuka mandatori. Kan dah rugi. Jadi gua kena kontrol nafsu serakah gua ni.

Starter macam biasa mesti mau dengan kurma. Minuman pulak selalunya ada air laici, tak pun tebu, koman-koman pun air lengkong tak pun sirap campur telur katak. Lepas tu, ada pulak kuih limeh (tepung pelita), popia, murtabak tambah pulak jiran depan rumah bagi kuih onde-onde. Belum masuk kuih jiran tepi, jiran kiri kanan serta belakang. Perghh.. Tang nasik sama lauk pauk tu memang wajib la kan. Lauk pauk tu selalunya special la sikit dari biasa macam ayam percik ke, ikan bakar ke. Tu tak masuk lagi pulak buah pencuci mulut yang glamer macam tembikai merah, tembikai susu dan anggur.

Bunyi je kerantong maghrib, orang start bang, gua tak toleh kiri kanan dah. Pekena je kurma seketul, gua terus attack air. Kering tekak dahaga usah cerita la. Kalau ada kolam renang kat rumah gua time tu, harus gua mintak mak gua bancuh air laici dalam tu. Boleh gua pekena kuak lentang time buka.

Bila dah selesai buka puase, hari pun dah gelap. Perut pun dah kembung. Jadi gua lepak-lepak kejap sebelum ke aktiviti ke surau untuk sembahyang terawih (kononnye). Bulan puase ni biasanya lesen keluar malam senang nak dapat. Tapi time budak-budak dulu nak pegi mana pun. Pegi (main kat) surau je la. Kalau dulu ada cybercafe, lain cerita dah gua rasa.

Bulan puase ni, dia punya berani lain macam. Jalan dalam gelap pun tak takut. Mana ada hantu. Hantu semua kena ikat. Kitaorang (GRK) yang jadi hantu. Orang dok sembahyang terawih, kitaorang sibuk buat aktiviti lain. Selalunya main mercun sama bunga api la. Tak pun main api.


Senang je nak main api ni. Kena ada sekotak mancis cap King Kong tak pun cap Cili Padi sama kertas suratkhabar lama. Lepas tu selai kertas suratkhabar ni ditemukan kesemua penjurunya dan ikat le dengan benda yang boleh mengikat. Jadi la bentuk dia macam bentuk tanglong. Gua pun tak reti la nak describe mana rupa dia. Lepas tu kita bakor tiap-tiap penjuru dia. Bila dah terbakor dia akan jadi UFO terbang ke langit. Best wo....Jangan terbakau rumah orang dah.

Satu hari, ada satu geng ni bawak mercun tarik. Ala mercun yang bertali tu, bila tarik baru meletup. Apa lagi, habis selipar kat surau kami bantai ikat dengan mercun tarik tu. Tak puas hati, pintu, tingkap, dan apa benda je la yang boleh buat mercun tu tertarik kami belasah ikat. Gua bubuh 5 biji jerangkap samar pada pintu jamban. Lu orang bayangkan muka bilal terkejut bila bukak pintu jamban. Member dah la tak tahan..tarik pintu punya la kuat. Keh keh keh...

belasah saja!

Tuesday, August 17, 2010

Puase Dulu-dulu - 2

Mengharungi bulan puasa masa budak-budak dulu memang gila babun dia punya tahap mencabar. Mana taknya, selain pegi sekolah naik basikal, banyak benda yang menggugat iman dijual di kantin mau pun kedai ABC Ah Leng dan juga banyak aktiviti dengan 'geng ronda kampung' (GRK) yang memerlukan stamina yang tinggi. Gua rasa dah tahap komando pegi traning je dah time kecik-kecik dulu. Mental kena kuat, tekak kena steady, perut usah cerita la. Kalau tak takkan Kayree boleh mencekik dalam jamban. Hahaha..itu kenangan dia time budak-budak dulu.

Dulu, seingat gua..aktiviti harian gua dengan GRK time puase dia lain sikit. Dia lebih terjerumus ke lembah sungai yang jernih lagi nyaman. Perghh..Terjun rolling summersault, terjun tiruk, kuak lentang, kuak kupu-kupu, kuak belalang dan kuak berkumur-kumur (eh..) itu memang wajib. Kadang-kadang kitaorang tibai jugak main bola ke, polis sentri ke tak pun galah panjang ke. Kalau ada budak pompuan, geng gua yang lain belasah la jugak main zero point. Err..gua tengok je. Tak main. Tak kuase.

Selalunya, sebelum tunggu kerantong maghrib bunyi, gua layan t.v je. Bulan puase ni selalu main drama Arab cerita pasal firaun. Yang rancangan masak-masak itu usah cerita la. Memang ada aje bulan puase ni. Drama Melayu time bulan puase cam Rumah Kedai pun best gak. Tak pun gua layan kartun je la.

Kalau tak kena cerita yang best, gua bukak balik majalah Gila-gila lama. Memang layan baca Gila-gila ni. Lagi satu, time puasa ni, komik selalu bawak keluar isu bumper. Memang tebal la dari isu bulan biasa. Time baca komik ni rasa dah dekat dah nak raya. Gila-gila, Gelihati, Batu Api ke...memang gua layan abis dulu.

Gila-gila Super Selebet...memang best!

Bila dah dekat nak raya mesti la nak kena bagi kad raya kat kengkawan kan. Cikgu pun kena bagi jugak. Tapi cikgu yang faverit je la. Yang garang-garang mintak mahap la. Kalau ada awek/budak laki-laki yang kita minat, ini la timenya. Kena la bagi kad raya yang spesial sikit kan. Tapi time budak-budak, setakat kad raya gambar kartun main meriam tu dah kira special dah tu. Gua dulu, dok sibuk nak balas kad je la. Maklumlah.....

belasah saja!

Monday, August 16, 2010

Puase Dulu-dulu

Gua ingat lagi, time dulu-dulu, masa budak-budak dulu, time yang saspen ialah ketika ramai-ramai adik-beradik berlonggok depan t.v menantikan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja buat anouncement bila boleh start puasa. Itu jam, pakai t.v hitam putih yang ada pintu lagi. Belum upgrade. Bila tetiba t.v tu buat hal, siap la atas, tepi kiri kanan kena tepuk. Bila beliau bagi salam je, semua senyap. Saspen gile. Semua ternanti-nanti. Nampak ke tak anak bulan tu? Bagi gua time tu, kalau esok puasa, maknanya subuh nanti kena bangun sahur. Kalau lusa puasa, maknanya esok boleh lagi bedal makan dan minum kat kantin sekolah.

Memang saspen...lagi saspen dari citer Rambo...

Bila dah masuk bulan Ramadhan ni, kepala otak mesti ingat nak raya dah ni. Kepala dah tune bunga api, duit raya, baju baru sama kasut baru. Tapi, sebelum tu kena puasa dulu. Bila dah dekat 50 orang tua yang gua jumpa asyik sound gua, 'Orang tak puasa tak boleh raya', goyang jugak gua. Jadi, untuk menikmati hari raya seperti insan yang lain yang berkasut raya dan berbaju raya baru, gua kena la puasa.

Masa bebudak ni jugakla, banyak dakyah-dakyah songsang yang dikeluarkan oleh adik-beradik, sepupu sepapat dan kengkawan sebaya mengenai puasa. Memang tahap jahanam dia punya dakyah. Gua pun tak tau la kat mana diaorang ni menuntut. Antaranya, 'tak boleh telan air liur, nanti batal puasa.' Maka, kering kontang la tekak si Asan ni kerana asyik meludah. Jahanam si Asan. Kesian. Ataupun,
"Mak, macam mana ni...Ain nak terkentut sangat ni..."
"Hah, abis tu kentut je la...."
"Tak boleh, Ina cakap nanti batal puasa.." Kesian juga pada si Ain. Entah berapa lama dia menahan kentutnya. Nasib baik gua tak terpedaya dengan dakyah-dakyah songsang mereka. Keh keh keh...

Bulan puasa juga la gua dapat rasa makanan dan kuih yang 'rare'. Memang tak jumpa la time bulan biasa. Selalunya makanan dan kuih ni, mak gua yang buat ataupun jiran-jiran yang bagi. Dulu PaRam ni rasanya tak berapa nak masuk dalam industri sangat. Jadi kuih-kuih pilihan tu agak terbatas. Sekarang ni je gua tengok Ramadhan ni dah jadi macam pesta makanan pulak. Malu siot.

Ok, ni gua nak reveal trick cara-cara macam mana ibu-ibu kat kampung dulu-dulu nak mendapatkan variety kuih yang macam-macam ada. Si ibu akan buat satu jenis kuih berdasarkan resipi yang disalin dari rancangan t.v, radio dan juga kelas memasak anjuran KEMAS dalam kuantiti yang agak banyak. Dah siap, si ibu akan mengarahkan anak-anaknya untuk buat special delivery kuih tersebut ke rumah jiran-jiran. Jiran-jiran pulak akan membalas dengan kuih yang mereka buat. Bayangkan kalau 6 rumah jiran lu kena hantar? Berapa banyak jenis kuih lu dapat makan itu hari. Hah! Lumayan...Kat K.L ni je yang takde macam ni dah. Mana taknya, jiran pun tak kenal.

belasah saja!
Related Posts with Thumbnails